Pages

Tuesday, May 3, 2011

Kelas Menengah & Filem - Hishamuddin Rais

Sebuah artikal Saudara Hishamuddin Rais yang saya kira cukup informatif dan menarik untuk dibaca bagi peminat filem tanahair. Artikel ini saya ketemui dalam lamanweb Filem Kita yang asalnya dipetik dari Utusan Malaysia bertarikh Mac 20 1997. Ketika Saudara Hishamuddin masih aktif menyumbang pada penerbitan-penerbitan arus perdana. Laman web rujukan disediakan di akhir artikel ini sebagai rujukan selanjutnya.

Terimak Kasih.


Kelas Menengah dan Filem
Oleh: Hishamuddin Rais

Penonton dan peminat filem Melayu baru saja dipertemukan dengan Layar Lara. Filem ketiga daripada Suhaimi Baba sesudah Selubung dan Ringgit Ke Syorga. Kemudian penonton dipertemukan pula dengan Azam arahan Z. Lokman.

Berbanding dengan Merah filem debut M. Nasir pembuka tirai tahun ini, Layar Lara dan Azam kelihatan gagal mendapat sokongan penonton.

Jika trend ini berterusan, semakin jelas kelihatan perkembangan filem Melayu sedang menghadapi krisis. Memang telah lama dirasakan seperti ada kulat di dalam bingkai filem Melayu. Kulat apakah yang melahirkan krisis ini masih belum dapat dikenal pasti. Lihat sahaja Layar Lara satu-satunya filem Melayu yang digarap dengan penuh cinta seni oleh Suhaimi Baba.

Suhaimi dengan sedaya upaya memperkenalkan sound sync (istilah popular di sini direct sound). Suhaimi juga telah melatih para pelakon untuk mendalami watak. Protoganis utama dalam Layar Lara terdiri daripada pelakon yang telah dicuba dan amat berpengalaman.

Suhaimi juga menggunakan steadycam - kamera yang tidak perlu terletak tetapi boleh mengikut gerak langkah aktor. Semua ini diadun oleh Suhaimi untuk melahirkan Layar Lara. Hasilnya? Layar Lara tidak mendapat sokongan para penonton yang diharap-harapkan datang menonton.

Di mana kesilapannya? Memang Layar Lara bukanlah satu filem Melayu yang flawless tetapi ia lebih dianggap sebagai filem Melayu yang terbaik pernah dihasilkan di negara ini.

Mungkin segi penceritaan (visual story telling) pada dua minit pertama Layar Lara gagal menjaring hati penonton untuk memasuki dunia Manjalara binti Wagiman. Mungkin juga kerana suntingan yang begitu kasar menjadikan penonton tertanya-tanya tentang arah dan jalan cerita.

Suhaimi seperti di dalam Selubung dan Ringgit ke Syorga cuba sekali lagi membawa berbagai-bagai plot dan isu. Ini cara dan style penceritaan Suhaimi. Apakah ini yang menyebabkan penonton menjauhkan diri daripada Layar Lara? Adakah jalan ceritanya agak susah difahami? Apakah penonton gagal untuk tahu apa sebenarnya yang ingin diceritakan oleh Suhaimi dalam Layar Lara - ada kisah primadona Manjalara, kisah kehidupan pelakon veteran, kisah orang buat filem dan cerita tanah orang Melayu dirampas. Semua ini diolah oleh Suhaimi sehingga kelihatan tema sampingan ini bukan jadi tema sampingan.

Apakah kerana terlalu banyak cerita berjalan seiring sehinggakan penonton tidak tahu cerita siapakah sebenarnya di dalam Layar Lara. Kalau ini yang menyebabkan penonton lari bagaimana pula dengan Azam arahan Z. Lokman. Ini filem terbaik garapan Z. Lokman, seorang pengarah paling prolifik.

Azam sebuah filem yang serius yang wajib diberi perhatian yang serius. Z. Lokman menggunakan struktur naratif yang selari dan struktur visualnya senang difahami.

Azam ialah sebuah filem sosial kritik terhadap diri kita sendiri sebagai anggota masyarakat yang gagal menerima kembali seorang bekas banduan yang telah berubah.

Prasangka kita terhadap bekas-bekas banduan digambarkan oleh Z. Lokman di dalam Azam walaupun tidak mendalam tetapi tepat. Perwatakan dan plot di dalam Azam memang boleh diperbaiki.

Perwatakan protaganis di dalam Azam memang agak cetek dan tidak berkembang. Z. Lokman telah membebaskan dirinya daripada pretensious filem making.

Z. Lokman cukup jujur sebagai pembuat filem dari dunia ketiga. Dia tidak menggunakan gerak kamera yang hebat. Atur bingkai dan loksinya mengenangkan kita kembali ke zaman Cathay Kris.

Sekali imbas kelihatan Azam seperti filem hitam putih Perancis sebelum perang. Ambience kampung nelayan dapat menggambarkan kemelayuannya. Inilah keindahan dan kesenian di dalam Azam. Syabas! Z. Lokman.

Tapi kenapa seperti Layar Lara, Azam juga ditolak. Kedua-dua filem ini gagal untuk mendapat pulangan tiket yang menggalakkan. Apakah kesalahan Suhaimi Baba dan Z. Lokman sehingga kita menolak kerja seni mereka. Di sinilah kita perlu melihat sikap kita sebagai manusia berbudaya - apakah kita manusia berbudaya telah menerima filem sebagai satu bentuk seni.

Jika kita tidak menerima filem sebagai satu bentuk seni budaya Melayu ia tidak akan timbul apa-apa persoalan. Tetapi jika kita mahu filem menjadi sebahagian daripada elemen budaya kita maka wajiblah manusia berbudaya ini melakukan sesuatu.

Di lihat secara impirikal, tamadun mana pun bila saja keperluan asas (makan, minum dan pakai) telah disempurnakan, manusia akan memerlukan bentuk-bentuk seni untuk mengisi keperluan kerohanian.

Maka lahirlah lukisan, ukiran, novel, bangsawan, sandiwara, filem dan lain-lain. Bersama ambience keghairahan seni ini akan berkembang bersama meningkatnya keintelektualan sesuatu bangsa.

Kalau diperhatikan sekilas imbas kelihatan telah muncul dan membesar golongan Melayu yang pada dasar ekonominya telah kukuh. Bolehkah kita menganggap mereka inilah yang menjadi kelas menengah Melayu (the Malay middle class)?

Secara zahir mengikut patukan ekonomi memang mereka ini boleh dianggap kelas menengah tetapi untuk menjadi kelas ini memerlukan lebih daripada wang ringgit. Kriteria yang paling penting untuk menghalalkan kedudukan inilah pandangan budaya mereka - the cultural attitude.

Pandangan budaya inilah menilaikan mereka sebagai kelas menengah di dalam mana-mana tamadun. Kelas ini wajib menjadi teraju budaya satu-satu bangsa. Merekalah penyokong kuat dan penilai segala macam bentuk seni. Kelas menengahlah yang akan menjadi konsumer segala bentuk bahan bacaan. Mereka jugalah yang akan menjadi peminat dan pengunjung sandiwara, bangsawan atau teater. Mereka seharusnya membawa anak-anak mereka berkunjung ke balai-balai seni, ke pawagam, ke dewan sandiwara atau ke dewan muzik sebagai bahan didikan dan insurans penerapan worldview mereka kepada generasi yang akan datang. Daripada kelas inilah munculnya hantu-hantu buku dan penggiat berbagai bentuk seni. Tapi kelihatan semacam ada kejanggalan telah berlaku di negara kita.

Kelas ini kelihatan lumpuh budaya seninya. Mereka gagal untuk menikmati kerja-kerja seni. Ini dibuktikan dengan kegagalan kelas menengah Melayu untuk memberi sokongan terhadap filem Melayu. Kerja seni Suhaimi dan Z. Lokman walaupun berbeza-beza telah tidak dipedulikan oleh mereka.

Ada hujah yang menyatakan mereka ini tidak mahu menonton filem Melayu kerana takut jatuh martabat mereka sebagai anggota kelas menengah. Mereka segan untuk dilihat menonton filem Melayu. Tapi di dalam masa yang sama merasa tidak segan pergi menonton filem-filem dari Hollywood reject seperti Judge Dred atau Twister yang dibuat bukan untuk mengisi ruang seni manusia yang ada budaya fikir.

Ini bermakna orang Melayu bukan tidak menengok wayang cuma mereka tidak menengok filem Melayu. Apakah kelakuan ini kerana kita masih belum lagi dapat membebas atau memerdekakan diri kita sendiri daripada post colonial psyche.

Cinta seni kita masih lagi dijajah, dan kita tidak dapat menerima kerja seni yang dibuat oleh pekerja seni kita sendiri.

Apakah kita sendiri tidak berani menerima kerja seni Suhaimi Baba, Z. Lokman, Yusof Haslam atau sesiapa saja pembuat filem Melayu. Yusof Haslam, Adman Salleh, U-Wei, Suhaimi Baba dan Z. Lokman semuanya pembuat filem yang berbeza-beza. Semua adalah pekerja seni yang memerlukan sokongan daripada manusia budaya kelas menengah Melayu yang berfikir.

Suhaimi Baba adalah satu-satunya pengarah wanita di tanah air. Suhaimi Baba adalah salah seorang pengarah wanita di dalam dunia filem. Bila Layar Lara gagal ditonton seolah-olah kelas menengah Melayu tidak memberi penghormatan kepada Suhaimi. Penghormatan yang diperlukan bukan title yang besar tapi memadailah dengan pergi menonton kerja seni yang dibuatnya. Sesudah ditonton barulah membuat keputusan sama ada kerja seni beliau baik atau tidak.

Kritikan dan pandangan yang membina hanya timbul setelah filem itu ditonton. Semua kritikan dan pandangan amat diperlukan oleh sesiapa saja yang mengakui dirinya sebagai pekerja seni.

Antara pembuat filem dengan manusia budaya ada hubungan symbiotic, sokong menyokong untuk melahirkan budaya bangsa filem Melayu. Hal ini tidak akan wujud tanpa sokongan kelas menengah Melayu.

Sumber Utama: Utusan Online (20 Mac 1997)

No comments:

Post a Comment